SAYA tidak ingat bila sebenarnya “oleh” ditalkinkan pengunaannya oleh banyak editor akhbar Bahasa Melayu.
Hal ini nampaknya berleluasa juga dalam pemberitaan TV dan radio.
Saya menganggapnya satu peristiwa pembunuhan kata yang amat tragis dalam sejarah penulisan dalam Bahasa Melayu.
Perkataan “oleh” adalah “kata sendi nama” untuk menunjukkan pembuat dalam ayat-ayat pasif.
Kamus Dewan edisi keempat memberikan takrif dan huraian “oleh” pada muka 1,095 dan 1,096.
Tidak pula disebutkan di dalam mana-mana kamus atau buku tatabahasa terbitan DBP bahawa “oleh” patut dihapuskan penggunaannya.
Pada masa ini kita berdepan dengan ayat-ayat seperti di bawah:
1. Bola itu ditendang Mamat.
2. Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri.
3. Rencana ini ditulis Johan Jaaffar.
Kita ambil contoh ayat yang pertama. Frasa nama (Mamat) itu ialah "pelaku diri ketiga", sementara "bola itu" ialah subjek ayat pasif.
Dalam ayat aktifnya (Mamat menendang bola itu), memang betul "bola itu" objek, iaitu objek kepada kata kerja transitif "menendang".
Secara mudahnya dalam ayat itu objek frasa nama ialah “Mamat” dan objeknya “bola itu.”
Ayat ini telah dipasifkan di mana “bola itu” berperanan sebagai objek, dalam ayat aktif.
Oleh yang demikian (lihat penggunaan “oleh” di sini) dalam konteks ini, “oleh” perlu digunakan. Samalah seperti dalam ayat:
“Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri” dan bukan “Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri.”
Memang ada keadaannya “oleh” sama ada boleh atau tidak perlu digunakan. Misalnya:
“Kuih itu sudah diambil Tomok semalam.”
Tetapi tidak ada salahnya menggunakan “Kuih itu sudah diambil oleh Tomok semalam.”
Di dalam ayat-ayat ini “oleh” tidak boleh ditinggalkan :
Anak dara itu dipatuk oleh ular.
Bilik saya digunakan oleh menteri wanita itu untuk bersolek.
Menara baharu PNB dicerobohi oleh dua orang warga Rusia.
Contoh lain adalah:
Duit untuk tujuan rasuah itu telah diambil oleh pegawai tinggi tersebut
Rumah besar Ketua Bahagian itu dibina oleh seribu orang pekerja.
Memang ada ketikanya “oleh” boleh ditinggalkan. Misalnya untuk ayat pasif di mana unsur subjeknya diberikan keutamaan:
Contohnya:
Kucing kurap itu diberi makan ayah pagi tadi.
Budak-budak itu kena kejar unta.
Mereka kena hasut pemimpin politik.
Sebenarnya “oleh” merupakan kata yang indah.
Dalam Kamus Dewan ditunjukkan beberapa contoh bagaimana “oleh” boleh digunakan pada awal perkataan:
Oleh tiada jalan lain hendak menyelamatkan dirinya, ia mencuba hendak terjun ke dalam air.
Dalam kitab-kitab lama Melayu pula ada ditunjukkan bagaimana “oleh” digunakan dengan indah dalam ayat-ayat seperti di bawah:
Maka oleh si penyadap budak itu dibawanya kembali ke rumahnya, dipeliharanya dengan sepertinya.
Maka disuruh buka oleh baginda, maka dilihatnya tatal bergulung seperti subang.
(dari Kitab Sejarah Melayu).
Saya sangat berharap agar para penyunting media berbahasa Melayu kembali menggunakan “oleh”.
Hanya dalam keadaan tertentu boleh ditiadakan kata sendi nama yang istimewa itu.
Alangkah indahnya Bahasa Melayu apabila kita membuat ayat seperti berikut:
Rumah yang indah itu dibina oleh tukang terbaik dari Johor.
Demikian juga halnya, banyak orang berpendapat bahawa “hari”, “bulan” dan “tahun” adalah redundant
dalam Bahasa Melayu.
Sebenarnya tidak! Maka itu kita menemui ayat-ayat pelik seperti ini dalam media berbahasa Melayu.
Majlis itu dibuat pada Jumaat
Dia dilahirkan pada 1985
Malaya mendapat kemerdekaaan daripada British pada 1957.
Alangkah indahnya ayat-ayat itu sekiranya ditulis
Majlis itu dibuat pada hari Jumaat.
Dia dilahirkan pada tahun 1985.
Malaya mendapat kemerdekaaan daripada British pada tahun 1957.
Begitulah struktur ayat Melayu yang baik lagi indah!
Janganlah terbawa-bawa dengan struktur ayat Bahasa Inggeris!
Pola pembentukan ayat kita berbeza, begitu juga binaan ayat kita.
Menurut Datuk Seri Dr Awang Sariyan, pakar bahasa dan juga Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kata lain yang nampaknya "diharamkan" oleh editor media berbahasa Melayu ialah "yang".
Pada pendapat beliau, pada masa ini banyak ayat yang salah dan amat janggal menurut akal budi Melayu.
Contohnya:
Perdana Menteri baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.
Rumah berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali.
Bilik digunakan menteri itu kini telah disita.
Sepatutnya:
Perdana Menteri yang baru pulang dari luar negara menegaskan pentingnya prinsip berkecuali diamalkan.
Rumah yang berwarna hitam itu kelihatan hodoh sekali.
Bilik yang digunakan oleh menteri itu kini telah disita.
Menurut Dr Awang, contoh-contoh di atas adalah di antara sejumlah kejanggalan lain dalam "gaya media" kini.
Sememangnya kita memahami prinsip "ringkas, tepat, padat" dalam media tetapi tidak patut sampai mengorbankan asas bahasa, seperti yang dipertahankan dalam bahasa lain.
Oleh yang demikian, jangan bunuh “oleh”, jangan korbankan “yang” selain membuang “hari”, “bulan” dan “tahun”.
* Tan Sri Johan Jaaffar bukan pakar bahasa tetapi beliau pencinta dan pengguna Bahasa Melayu sejak di bangku sekolah lagi. Beliau juga penulis kreatif dan Tokoh Wartawan Negara.
Johan Jaaffar
Fri Jan 06 2023
Tan Sri Johan Jaaffar menganggap perbuatan mentalkinkan perkataan "oleh" oleh editor akhbar Bahasa Melayu sebagai satu peristiwa pembunuhan kata yang amat tragis dalam sejarah penulisan dalam Bahasa Melayu.
Jemaah Islamiyah selepas 20 tahun
Munira Mustaffa, Ketua Pegawai Eksekutif Chasseur Group/ Felo Pelawat, International Centre for Counter-Terrorism (ICCT), The Hague
THSS: Bertemakan ‘Revolu-sihat’, ini senarai lagu tugasan peserta minggu ke-2
Menerusi segmen akhir, L U S M atau Level Up Satu Minggu telah mengumumkan kesemua peserta mempunyai lagu untuk dibawa ke minggu seterusnya. Senarai lagu minggu ke-2
Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 'Saya tiada lagi kawan bergaduh' - Abang
Kehilangan adik yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, tidak menggugat semangat Lans Koperal Ahmad Azza Fitri Azhar untuk terus berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bayi lelaki berusia seminggu ditemukan di kedai jual ayam
Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemukan di sebuah kedai menjual ayam proses di Jabur Kubur, Jalan Air Putih, dekat sini awal pagi tadi.
KPKT salur RM83.66 juta bagi 17 projek di Melaka
Peruntukan bagi kategori bina baharu dan projek sambungan itu yang terbesar dalam sejarah negeri Melaka dengan nilai terbesar disalurkan untuk pembinaan baharu projek Program Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Imigresen gagalkan sindiket penyeludupan manusia di ibu negara
Pasukan operasi diatur gerak ke premis itu dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek di lot parkir.
AWANI Ringkas: Polis tahan dua lelaki cuba masuk Istana, rampas parang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Grand Theft Auto 6 akan tiba pada musim luruh 2025
Ini masih bukan tarikh muktamad kerana musim luruh tiba sekitar penghujung September hingga awal November. Sungguhpun begitu kita kini mempunyai sasaran bilakan GTA 6 akan dilancarkan. Seb
[TERKINI] Ahli Parlimen Bukit Gantang tidak akan jawab surat Bersatu
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan tidak akan menjawab surat arahan yang dihantar Bersatu.
Negara mempunyai pengalaman kendali pemahaman ekstremis
Justeru demi menangani isu ini dengan lebih baik pada masa mendatang, Felo Bersekutu, International Centre for Counter-Terrorism (ICCT) The Hague, Dr Ahmad El Muhammady berpandangan suatu sistem amaran perlu diwujudkan lebih awal.
Mengapa bunuh "oleh?"
Perkataan "oleh" adalah "kata sendi nama" untuk menunjukkan pembuat dalam ayat-ayat pasif.